Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 04 DISEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menamakan Masjid Baharu Kampung Rengai kepada Masjid Ar-Rahman Kampung Rengai.
Masjid kariah dengan kos pembinaan sebanyak RM1.5 juta berkenaan dibina bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur melalui pembiayaan kewangan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
Ia dibina bermula pada 29 Disember 2020 dan telah berjaya disiapkan pada 24 Jun 2023 di lokasi baharu yang lebih strategik di laluan utama Lipis-Raub dengan keluasan tapak 2.965 hektar.

Masjid yang dapat memuatkan seramai 200 jemaah dalam satu masa ini telah mula dibuka dan digunakan sepenuhnya pada 6 Oktober 2023.
Ia memiliki kemudahan-kemudahan yang antaranya ruang solat utama, menara, minbar, bilik pegawai masjid, tempat wuduk, tandas, ruang penyimpanan barang, kolah dan pagar di sekeliling kawasan masjid.
Paduka Baginda menyempurnakan perasmian pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Rengai yang kemudiannya dimasyhurkan sebagai Masjid Ar-Rahman Kampung Rengai dan seterusnya menyempurnakan acara menandatangani papan tanda perasmian masjid baharu.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad. -PAHANGMEDIA

