Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Stadium Darul Makmur menjadi stadium pertama negara yang menggunakan rumput Bermuda Tifgrand.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, rumput berkenaan dipilih atas saranan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas beberapa faktor.
Katanya, antara faktor berkenaan adalah kerana ianya tahan lebih lama berbanding rumput Cowgrass yang digunakan sebelum ini selain lebih cantik dan mudah menyerap air.
“Apa yang saya nak kongsikan adalah rumput Bermuda Tifgrand ini dilesenkan dari Jepun. Beberapa hari lalu, syarikat dari Jepun telah datang ke sini untuk menilai kerja-kerja menaiktaraf ini sebab rumput ini kita mendapat lesen dari syarikat ini. Jadi harganya agak mahal dan ia adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Dan kelebihan Bermuda Tifgrand ini, yang pertamanya ianya tahan lasak. Yang keduanya ia lebih hijau pekat dan yang ketiganya ia tumbuh rapat, jadi nampak cantik dan yang keempatnya ia serap air. Maknanya kalau dalam hujan pun ia lebih cepat menyerap air jadi saya difahamkan tak adalah bertakung dan sebagainya,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi lawatan ke Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.
Yb. Tuan Fadzli juga berkata, kerja-kerja penanaman rumput berkenaan telah bermula tiga hari lalu dan dijangka padang berkenaan akan sedia untuk digunaakan sekitar Mac tahun hadapan.
Beliau dalam masa sama turut menegaskan musim tengkujuh tidak akan menjejaskan pertumbuhan rumput berkenaan.
“Uniknya rumput ini, ia bukan diambil dari benih, tapi kita ambil dari keratan akar. Ianya baru ditanam pada tiga hari lalu dan dalam tempoh ini rumput ini memang perlukan air yang banyak, jadi hujan ini sangat membantu.
“Cuma mungkin dalam tempoh 10 hari lagi ia perlukan cahaya matahari pula. Jadi kita doakan yang terbaik, mentari akan muncul dan bagi manfaat kepada Bermuda Tifgrand ini.
“Saya tanya syarikat yang menaiktaraf padang ini dan ia (musim tengkujuh) tidak ada memberi kesan kepada rumput ini. Jadi, selepas 10 hari saya akan tengok semula,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama memaklumkan kos-kos penyelenggaraan padang stadium terbabit akan meningkat sekali ganda berbanding sebelumnya justeru mencadangakan untuk membina pusat jualan pelbagai di luar stadium berkenaan sebagai salah satu kaedah untuk menampung kos penyelenggaraan.
“Dalam usaha menaiktaraf ini, penyelenggaraan itu penting. Jadi pihak syarikat ada masa setahun untuk selenggara padang ini dan dalam masa sama mereka akan melatih pegawai atau kakitangan stadium untuk menyelenggara padang ini.
“Padang ini, kalau diselenggara dengaan elok, guna jentera yang betul, baja yang elok, ia tidak ada masalah. Yang penting, mesin, jentera dan kepakaran kita punya kakitangan untuk selenggara padang ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

