KUANTAN, 22 NOVEMBER 2024 : Pahang berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa melalui penyertaan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai, baru-baru ini, dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak USD63.9 juta.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha enam peserta pameran dari Pahang, yang berjaya mengetengahkan produk halal berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.
“Daripada jumlah ini, USD8.7 juta merupakan hasil jualan sebenar, manakala USD55.2 juta pula adalah potensi jualan yang diunjurkan.
“Prestasi ini jelas membuktikan bahawa produk halal dari Pahang mempunyai daya saing dan keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, acara MIHAS@Dubai telah menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk halal Pahang yang berkualiti tinggi, inovatif, dan berdaya saing.
“Penyertaan ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong usahawan tempatan dalam menembusi pasaran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Pahang sebagai peneraju dalam industri halal.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan ini. Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan tempatan agar mereka dapat memanfaatkan peluang yang lebih luas di peringkat global,” katanya
Ujarnya lagi, kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Pahang, tetapi turut membuktikan potensi besar negeri ini sebagai pusat pengeluaran dan inovasi halal.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan saya berharap agar lebih ramai pengusaha dan syarikat dari Pahang menyertai MIHAS untuk mengambil peluang menerokai industri halal di luar negara,” katanya. – PAHANGMEDIA

