Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar ibu bapa memainkan peranan dalam membendung masalah penagihan dadah di negeri ini.
Titah Paduka Baginda, ibu bapa sama ada yang memiliki anak yang terlibat dengan najis itu mahupun tidak, perlu salin membantu dalam usaha mencegah najis terus berleluasa di negeri ini.
“Maaf saya bawa di sini kerana inilah peluang saya membuat ucapan ataupun statement kebimbangan saya terhadap masalah dadah khususnya di sekolah-sekolah di Negeri Pahang.
“Di Pahang telah terdapat 11,750 penagih yang diawasi oleh pihak AADK. Yang sedihnya dalam kalangan anak-anak kita sendiri.
“Dan sudah sampai masanya ibu bapa di Negeri Pahang ini tidak kiralah yang ada anak terlibat atau tidak terlibat bangkit untuk membantu, berilah nasihat yang sewajarnya,” titah Paduka Baginda ketika Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan MTNP 2024 bertempat di Hotel The Zenith, di sini hari ini.
Paduka Baginda dalam masa sama turut mencadangkan agar kerajaan mengharamkan secara total penggunaan rokok elektronik atau vape.
“Saya harap semua pihak dapat membantu dan antara sebab-sebab mereka terlibat secara langsung dan tidak langsung ialah kerana bermula dengan rokok dan sekarang iaitu alat vape. Alat vape ini adalah satu alat yang merosakkan kesihatan kita.
“Saya menyuarakan kepada pihak kerajaan supaya alat vape ini perlu diharamkan secara total supaya tidak perlu hendak beri pertimbangan sewajarnya dan terbukti bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia,” titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA

