Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut mengiringi Paduka Baginda, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Encik Abd Razak Abu Musa; dan Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Encik Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah kecemerlangan kepada dua pelajar MTNP iaitu Akif Ibrahim, 18, dan Nur Amelia Diyana Azman, 18, yang memperoleh keputusan 11A+ dalam SPM tahun lalu.
Paduka Baginda justeru itu menzahirkan rasa terharu, bangga dan sayang terhadap MTNP sekali gus percaya di masa akan datang institusi terbabit dapat terus kekal menjadi yang terbaik di Pahang dan negara secara keseluruhannya.

“Antara benchmark (penanda aras) yang tuan-tuan dan puan telah capai iaitu menjadi nombor satu di Malaysia. Ini adalah satu benchmark yang tidak boleh kita reka di dalam hal ini. So we have to maintain the standard,” titah Paduka Baginda ketika Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan MTNP 2024 bertempat di Hotel The Zenith, di sini hari ini.
Paduka Baginda Tuanku dalam titahnya turut mengingatkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk bergabung tenaga membantu Maahad Tahfiz dan Pondok yang berada dalam keadaan daif.
“Dalam pada itu, baru-baru ini saya juga telah berjumpa dengan semua pengetua-pengetua dan pemilik madrasah dan sebagainya. Kita mempunyai lebih kurang 190 buah (pondok dan madrasah) seluruh Negeri Pahang. Malangnya ada sebahagian pondok dan juga madrasah ini, ada yang baik, ada yang kurang baik.. ada yang cukup daif dan ada yang sangat daif.
“Jadi saya telah titahkan pihak MUIP, Yayasan Pahang, UNIPSAS dan UMPSA supaya dapat bergabung memperbetulkan semua pondok-pondok ini dan semua kokurikulim mereka dapat disatukan dan selarikan supaya tidak anak kita ketinggalan dari arus pembelajaran di Negeri Pahang.
“Kita tidak mahu lihat anak kita ketinggalan dan mereka akan merugikan masa hadapan mereka nanti,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda dalam masa sama turut bertitah agar pelajar MTNP tidak sahaja menumpukan kepada menghafal Al-Quran sahaja, tetapi juga menumpukan kepada akademik agar tidak ketinggalan dalam arus perdana. -PAHANGMEDIA

