Oleh : Ain Nadhirah Basha
TEMERLOH, 21 NOVEMBER 2024 : Tuan Haji Mohd Nor Yatim, 76, yang berpengalaman selama 21 tahun menjadi guru di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) melahirkan rasa bangga apabila melihat banyak perubahan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang terhadap institusi pendidikan Islam berkenaan.
Menurut Tuan Haji Mohd Nor, Kerajaan Negeri dilihat sentiasa mengambil berat segala isu berkenaan sekolah berkenaan terutamanya membabitkan kebajikan guru-guru.
“Saya berkhidmat paling lama di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh, selama 17 tahun. Kalau dilihat banyak beza dia. Dari segi guru semakin bertambah berbanding awal saya mengajar dulu.
“Bermula tahun 1979, memang ramai guru masuk waktu tu. Kalau sebelum 1979, kami guru-guru letih. Kalau sekarang, puas hati berbanding dulu,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu beliau turut membidas dakwaan ADUN Kuala Semantan, Hassanuddin Salim yang mendakwa kononnya Kerajaan Pahang tidak mempedulikan kebajikan guru SMAN di negeri ini.
“Tak munasabah langsung. Kalau tengok perbezaan dulu dan kini. Ibarat langit dengan bumi sekarang bezanya tu. Tambah sekarang zaman serba ada belaka.
“Macam di SMA Al-Khairiah, bangunan sekarang ni dulu padang kecil. Ini kerana Kerajaan Negeri memang beliau utamakan pendidikan,” katanya yang turut memilih SMAN bagi tiga anaknya menyambung pendidikan menengah.
Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila melihat banyak perubahan positif terhadap pendidikan agama daripada ketika bergelar tenaga pengajar SMAN sehingga kini sebagai pesara.
“Bangga. Saya rasa sanggat bangga dengan semua perubahan bagi Sekolah Menengah Agama Negeri. Terima kasih terutamanya kepada Kerajaan Negeri, bermula dari Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob sehingga Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail memang beliau tumpu betul,” katanya. -PAHANGMEDIA

