Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Seramai tujuh usahawan terpilih FELDA telah menempatkan produk mereka di lobi Menara Kuantan 188 bermula hari ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, ia merupakan satu permulaan jalinan kerjasama antara FELDA dan Menara Kuantan.

Katanya, kerjasama berkenaan tidak hanya akan memberi impak yang besar kepada usahawasan FELDA terutamanya tetapi juga buat Menara Kuantan 188.
“Dan ini memberikan satu impak yang besar kepada usahawan-usahawan di luar sana terutama sekali usahawan-usahawan FELDA yang boleh berkecimpung dan boleh mempromosikan produk ini.
“Saya berpesan kepada usahawan-usahawan tadi bahawasanya dengan adanya perkhidmatan mereka di dalam Menara Kuantan 188 dapat meningkatkan profilnya sendiri iaitu produk-produk mereka yang berada di tahap international (antarabangsa),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara perasmian Pameran dan Jualan Produk Usahawan FELDA bertempat di lobi Menara Kuantan 188 hari ini.
Hadir sama, Pengarah Wilayah FELDA Wilayah Kuantan, Dr. Haji Mohd Syaiful Hassan; Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan, Encik Zaid Sidek; Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Encik Nasrul Alias dan Ketua Pembangunan Perniagaaan, Pemasaran dan Jualan Kuantan 188, Encik Abdul Jamil Mohamed.

Dalam pada itu YB. Dato’ Amizar berkata, kiosk yang menempatkan produk usahawan FELDA itu dibuka setiap hari pada jam 10 pagi hingga 10 malam dan dibuka pada jam 10 pagi hingga 12 malam pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.
“Sebanyak tujuh usahawan ini adalah untuk permulaan dan kita tengah berbincang lagi dengan bahagian operasi untuk kita menambah nilai lagilah. Kita tengah mengkaji lagi usahawan yang boleh berdaya saing dan berdaya maju serta berkebolehan dalam memenuhi permintaan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

