Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 20 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang menyampaikan sejumlah RM63,200 Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi kluster petani dan nelayan pada Program Moh Karnival Makmur 2024 Daerah Bentong, malam tadi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 316 petani dan nelayan daerah Bentong telah menerima BPP tersebut dengan 303 adalah petani manakala 13 adalah nelayan yang menerima RM200 setiap seorang.
“Pada hari ini juga kita akan buat penyerahan Bantuan Prihatin Pahang Kluster Petani dan Nelayan iaitu kluster petani seramai 303 penerima, kluster nelayan 13 penerima, jumlah bantuan setiap peserta ialah sebanyak RM200 setiap penerima, jumlah kita peruntukkan semua ialah berjumlah RM63,200,” katanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur Bentong yang diadakan di Dataran Bentong.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen, barisan Exco Kerajaan Pahang, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, Pengarah Unit Perancangan dan Data Strategik (UPODS), YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang, YBhg Tuan Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Ahmad Abdul Rahman.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan lokasi kesepuluh bagi penganjuran program Moh Karnival Makmur dengan membawakan tema berbeza bagi setiap daerah.
Bentong membawakan tema ‘Tanah’ dengan membawakan reruai melibatkan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Negeri Pahang serta Pejabat Tanah Dan Daerah Bentong. -PAHANGMEDIA