Oleh : Norhafizan Zulkifli
MARAN, 20 OKTOBER 2024 : Raub FC dinobatkan sebagai juara Liga Amatur Pahang 2024 selepas berjaya menewaskan pasukan lawannya Sri Tonkin FC 3-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, malam tadi.
Kemenangan Raub FC itu sekali gus melayakkan pasukan itu mara ke Liga A2 pada musim depan.
Piala kemenangan disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal mewakili YAB. Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
YB. Tuan Fadzli berkata, penganjuran Liga Amatur Pahang 2024 itu memberi kesan yang cukup besar dalam usaha Kerajaan Negeri memperkasakan sukan bola sepak di negeri ini.
Katanya, Kerajaan Negeri justeru itu amat menghargai penganjuran dan sumbangan pihak yang terlibat menjayakan perlawanan berkenaan.
“Saya tengok sambutan yang cukup meriah sejak beberapa bulan lalu liga ini dianjurkan. Saya ucap terima kasih kepada semua pihak khususnya penganjur dan penaja atas sumbangan besar menjayakan Liga Amatur Pahang ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai menyampaikan piala dan hadiah kepada pemenang.
Hadir sama, Pengerusi Liga Amatur Pahang, Tuan Haji Azril Rizal Yusof Mohd Sarit selaku penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Sdn Bhd, Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif selaku penaja utama.
YB. Tuan Fadzli juga memberitahu, melalui Liga Amatur Pahang yang dianjurkan itu, banyak bakat dalam sukan bola sepak dapat dicungkil.
“Dan tadi pun rata-rata.. ramai pemain-pemain muda yang tampil dan cukup berpotensi untuk kita ketengahkan ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.-PAHANGMEDIA