Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2024 : Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) optimis melaksanakan Projek Pulau Tenaga Hijau (PTH) dengan pelbagai usaha bersepadu yang telah dirancang.
Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa TDA, Puan Marlia Mohd Noor berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), penggunaan Renewable Energy (RE), penggunaan Kenderaan Elektrik (EV), pemasangan solar pada struktur bangunan, jeti dan ‘offshore floating solar’, pemasangan meter pintar dan pengurusan sisa.
Jelasnya, semua usaha ini dilaksanakan dengan visi peralihan Pulau Tioman ke arah karbon sifar bersih menjelang 2040.

“Sehingga kini kita telah berjaya melaksanakan kira-kira 18 peratus daripada inisiatif yang dirancang dan kita mensasarkan kadar pengurangan diesel menjelang 2040, dalam tempoh itu TDA juga mengadakan kerjasama strategik bersama TNB dengan fokus kepada Renewable Energy (RE) dan pengurangan penggunaan diesel di Tioman, TDA pula akan menggalakkan penggunaan kenderaan EV, lampu solar LED, pengurusan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pameran bersempena International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula Rabu lepas.
Pada IGEM 2024, tujuh agensi sebagai pempamer telah turut serta iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), UMPSA Holdings Sdn Bhd, Cenergi Sea Berhad, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Perbadanan Taman Negeri Pahang dan PlanMalaysia Pahang.
Pada penyertaan kali pertama pada 2023, Pahang telah dinobatkan sebagai juara bagi anugerah States Innovation Awards. – PAHANGMEDIA

