Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 OKTOBER 2024 : Penganjuran Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) satu langkah dalam menarik kedatangan pelancong ke Negeri Pahang.
Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata ekspo ini juga merupakan satu cara promosi secara sistematik kepada pelancong yang berminat dengan pakej yang ditawarkan.
“Saya tekankan bahawa Kerajaan mesti ada political will untuk buat perkara baharu dan untuk kita terus melaksanakan promosi terutama sekali promosi pelancongan supaya mereka datang ke Pahang.

“Dan ini akan memberikan impak pelbagai kepada ekonomi negeri dan saya difahamkan hasil daripada kehadiran pelancong tersebut dapat memakmurkan lagi sektor pelancongan dan memakmurkan ekonomi negeri.
“Kita mesti terus mengadakan program-program baru dan kita kena faham bahawa untuk pelancong datang ke Pahang, ramai yang datang bertujuan yang memerlukan pakej tertentu, ada antara mereka perlukan yang lebih sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC).
Beliau dalam majlis sama turut membentangkan kertas kerja yang menekankan tiga faktor penting bagi memajukan sektor pelancongan di negeri ini.
“Saya membentangkan kertas kerja bertajuk Balancing The Growth And Sustainability Tourism in Pahang yang mana ia menekankan tiga faktor penting.
“Pertama, jangkaan apa yang dikehendaki oleh pelancong. Kedua, peranan pihak Kerajaan, dah ketiga, peranan pihak swasta dan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan,” katanya. -PAHANGMEDIA

