Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Hasuzila Hashim
JERANTUT, 5 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang menerusi portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga mensasarkan kepada pertambahan peruntukan kebajikan rakyat bersempena Belanjawan Pahang yang akan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail tidak lama lagi.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, beliau sangat berharap dana peruntukan dapat dipertingkatkan supaya lebih ramai rakyat dapat menerima manfaatnya.
“Sebagai Exco yang berorientasikan kebajikan saya berharap (peruntukan) kebajikan dapat ditambah lagi dan untuk selebihnya kita tunggu pengumuman daripada YAB Menteri Besar.
“Kalau daripada Exco Kebajikan sudah tentulah kita melebihkan kebajikan dan harap, insyaaAllah kita tunggu pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut yang berlangsung selama tiga hari di Padang Hoki Daerah Jerantut, hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Harris Salleh Hamzah, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mua’zzamir Jili dan Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato’ Sharuddin Jali.
Pada Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut kali ini bertemakan Kesukarelawanan dengan melibatkan banyak reruai bersama agensi berkaitan seperti Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Program yang diadakan di Padang Hoki Daerah Jerantut ini telah bermula semalam ini akan berakhir esok dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik membabitkan pelbagai agensi antaranya Perbadanan Perpustakaan Negeri Pahang, Majlis Daerah Jerantut, Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut, Lembaha Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan banyak lagi.
Orang ramai khususnya penduduk Jerantut dijemput memeriahkan pelbagai acara dan hadiah menarik yang telah disediakan.-PAHANGMEDIA

