Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2024 : Dua lelaki warga Myanmar dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan membuka kebun secara haram di Sungai Sepam, Tras, Raub pada Mei lepas.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Seksyen Raub, Noor Aisah Mohamed ketika pertuduhan dibacakan dengan dibantu jurubahasa.
Noor Asiah dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut fakta kes, berdasarkan risikan dan serbuan melalui Operasi Bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), serta Pejabat Hutan Daerah Raub, lebih kurang 9.20 pagi pada 7 Mei, telah terjumpa satu kawasan kebun tanaman durian, nenas, tebu dan limau serta rumah kongsi di kawasan disyaki tanah milik kerajaan.
Hasil serbuan mendapati terdapat dua lelaki warganagera Myanmar, Kyaw Win dan Ba’oo, kedua-duanya tanpa pengenalan diri sedang melakukan kerja di kebun tersebut dan mengaku bekerja di atas arahan individu lain.
Selain itu, tiga unit mesin rumput, tiga unit pam racun, tiga unit tong gas, tiga unit panel solar, dan satu unit hos paip bertekanan tinggi turut disita pada operasi berkenaan dengan kehadiran tertuduh selain menampal notis perampasan di bawah Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 di kawasan tersebut.
Pemeriksaan dengan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Raub mendapati kawasan tersebut berada di atas Tanah Kerajaan dan tiada sebarang kelulusan permit diberikan di atas kawasan berkenaan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa dari UPNP, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi memohon agar satu hukuman yang setimpal diberikan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di luar tanpa mengira status sama ada rakyat tempatan mahupun warga asing agar tidak sesekali melakukan kesalahan sedemikian. -PAHANGMEDIA

