Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 4 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya sebuah kelab mendaki ditubuhkan di negeri ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah kelab yang dinamakan Kelab Pendaki Pahang ini ditubuhkan bertujuan menjadikan gunung di negeri ini sebagai kawasan kajian dan juga aset pelancongan.
“Dalam pada itu saya juga berharap berkaitan dengan ucapan YB. Fadzli, saya telah menyaran untuk menubuhkan kelab mendaki.
“Tujuan kelab mendaki ini bukan sahaja nak mendaki Gunung Everest, kalau boleh kita kaji, kita tengok gunung-gunung di Pahang, jadikan itu sebagai satu aset pelancongan ekotourism ke, sport tourism ke, sebagai satu aset yang boleh kita popularkan.
“Mungkin ini secara tidak langsung boleh mempopularkan tourism tempatan, kawasan Gunung Tahan, Gunung Brinchang, dan lain-lain,” titah baginda.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Everest Base Camp Sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Fraser’s Hall, Jalan Genting, Bukit Fraser.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah penubuhan kelab mendaki ini dapat menjadi satu daya tarikan kepada pelancong untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan.
“Sebab ini boleh jadi satu tarikan dan saya harap ini dapat dikaji dan saya percaya kalau dibuat sebaik mungkin sedikit sebanyak ia dapat jadi tarikan kepada Negeri Pahang,” titah baginda.
Seramai 45 peserta melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Negeri Pahang, Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, dan media Negeri Pahang.
Kesemua peserta termasuk 10 wanita akan memulakan pendakian selama 16 hari bermula 9 September sehingga 25 September dan pendaki dijangka akan tiba di Everest Base Camp di ketinggian 5,365 meter dari aras laut pada 16 September 2024, sekali gus dijadualkan meraikan sambutan Hari Malaysia di sana.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; YAA Hakim Syarie Pahang, Datuk Haji Abdul Walid Abu Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim; Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS. Dato’ Dr. Ts. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, YBhg. Kol (Pertahan Awam) Che Adam Abdul Rahman; dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, YBhg. Tuan Haji Zamri Hassan.-PAHANGMEDIA

