KUANTAN, 4 SEPTEMBER 2024 : Kenyataan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang berkenaan Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSK(OA)) menerusi satu video di aplikasi TikTok semalam adalah tidak tepat dan berbaur hasutan yang boleh memberi kesan buruk kepada Kerajaan Negeri.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zukfifli Haji Yaacob berkata, adalah tidak wajar bagi beliau selaku penjawat awam mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
“Kerajaan Negeri telah menerima pemakluman daripada pihak RISDA berkenaan pemberhentian operasi pengurusan TSK(OA) Negeri Pahang melalui surat bertarikh 8 Februari 2024.
“Selanjutnya, Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 21 Februari 2024 telah memutuskan bahawa projek TSK(OA) diuruskan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) melalui kaedah memungut hasil tanaman (tapping right).
“Kelulusan tapping right tersebut merupakan penyelesaian bagi mengelakkan ketirisan hasil Kerajaan Negeri dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli yang terlibat dikawasan tersebut.
“Susulan itu, Kerajaan Negeri telah melantik ORACO sebagai agensi pengurus bagi melaksana 59 projek TSK(OA) di seluruh Negeri Pahang yang melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Malah beliau menegaskan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia dan Pengarah JAKOA Negeri Pahang telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah ORACO pada 16 November 2021 dan terlibat dalam membuat keputusan yang diputuskan oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
“Oleh yang demikian, pihak JAKOA secara jelas mempunyai pengetahuan berkaitan dengan pelantikan ORACO sebagai agensi pengurus bagi projek TSK (OA) ini. Selain itu juga, beberapa sesi libat urus, penerangan dan lawatan di 59 tapak projek TSK (OA) turut dihadiri pegawai-pegawai daripada JAKOA Negeri Pahang.
“Pengambilalihan projek ini dilaksanakan bagi menjamin kebajikan masyarakat Orang Asli dan merangsang pendapatan stabil serta berterusan. ORACO telah mengambil beberapa langkah susulan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini agar masyarakat Orang Asli dapat menikmati pulangan ekonomi dengan cepat,” jelasnya.
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang sentiasa cakna dalam menjaga kebajikan dan ekonomi masyarakat Orang Asli agar golongan ini dapat dibantu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.-PAHANGMEDIA

