Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2024 : Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia merupakan inisiatif untuk melahirkan pemimpin dari kalangan belia di negeri ini.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia bagi melahirkan belia yang progresif dan berdaya saing.
“Sekarang telah dibuka penyertaan untuk pemilih atau pengundi untuk ADUN Belia ini bermula pada 1 September sehingga 9 September ini. Begitu juga calon-calon yang berminat untuk menjadi ADUN belia ini bolehlah mendaftarkan diri pada tarikh tersebut.
“Jadi ini adalah proses demokrasi belia untuk melahirkan pemimpin belia yang boleh mewarisi kepimpinan negeri ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, di Hotel Sri Manja, di sini, hari ini.
Beliau menyeru golongan belia berusia 18 tahun sehingga 30 tahun di negeri ini untuk mengambil peluang menjadi sebahagian ADUN belia di Pahang.
“Mereka yang dipilih sebagai ADUN belia ini akan bersidang pada penghujung Oktober ini dan ini merupakan inisiatif kita untuk melahirkan kepimpinan belia yang berdisiplin, berketerampilan, serta boleh membantu golongan belia di Pahang.
“Dan Kerajaan Negeri Pahang menyokong penuh inisiatif ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Belia Negeri Pahang, dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

