Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2024 : Belia Negeri Pahang diharap dapat berdikari dengan mencari kekuatan dalam mendepani cabaran pada masa kini.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri Pahang akan memberi sokongan kepada belia di negeri ini.

“Rundingan belia pada hari ini dan saya harap usul yang dibentangkan tidak tinggal usul semata-mata sebaliknya usul-usul yang baik contohnya usul berkenaan pertanian, penternakan, dan perikanan untuk belia dapat dibentangkan dalam belanjawan Negeri Pahang.
“Pada pandangan saya belia mendapat sokongan yang baik daripada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan. Mereka adalah pewaris kepada kepimpinan negeri.
“Saya juga telah menyatakan hasrat supaya belia Pahang ini dapat berdikari sendiri dengan mencari kekuatan untuk mereka mendepani cabaran-cabaran yang amat hebat sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Pahang, di Hotel Sri Manja, di sini, hari ini.

Menurut beliau, majlis perundingan belia ini dilihat dapat membawa suara belia ke peringkat yang lebih tinggi, dan Kerajaan Negeri Pahang mengambil serius setiap pandangan dan usul yang dibangkitkan ini.
Tambah beliau, persatuan belia ini juga dapat menggunakan kemahiran dan bakat yang dimiliki ahli serta penerima anugerah untuk memajukan belia di Pahang.-PAHANGMEDIA

