Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 04 SEPTEMBER 2024 : Sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjumlah RM198,600 kepada 42 pelajar mampu memberi dorongan dan sokongan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Bagi siswi dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Syaimaa’ Noranawi @ Hussien, 21, dia yang sebelum ini melanjutkan pengajian dalam Diploma Syariah Undang-Undang bakal menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada bulan ini.

Dia yang bercita-cita menjadi peguam syariah sangat teruja dan bersemangat apabila mendapat sokongan dan galakan daripada semua pihak termasuklah Kerajaan Negeri menerusi sumbangan oleh MUIP.
“Saya rasa berdebar juga hendak ke sana sebab sendirian tanpa keluarga dan berharap agar semua urusan dipermudahkan, saya kini hanya bergantung kepada sumbangan dan bantuan yang diberikan oleh MUIP untuk meneruskan pengajian di Al-Azhar nanti,” katanya.
Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan, Muhammad Fawwaz Ahmad, 20, dia sangat gembira apabila terpilih untuk melanjutkan pengajian ke Al-Azhar, Mesir yang merupakan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi ahli agama.

Dia yang berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bakal melanjutkan pengajian dalam Ijazah Usuluddin bersama 14 lagi rakannya.
“Saya rasa sangat gembira kerana impian yang dahulu dapat dicapai, sebelum ini hanya berangan-angan je dengan kawan tapi tak sangka boleh capai, bila ada peluang ke jalan ni, saya pun teruskan sebab ni je satu peluang yang ada,” katanya yang akan berlepas ke Mesir pada September ini.
Berbeza dengan siswi Kolej Yayasan Pahang (KYP), Nor Izzati Haifa Zakiruddin, 20, yang menyertai pelan program KYP – Universiti Yarmouk, Jordan di mana pelajar perlu menghabiskan pengajian dalam tempoh empat tahun iaitu dua tahun di KYP manakala dua tahun lagi di Universiti Yarmouk.

Dia yang berasal dari Kuantan kini menuntut dalam Ijazah Syariah, Ekonomi dan Perbankan Islam di KYP sememangnya menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran sehingga ke luar negara.
“Saya rasa sangat gembira sebab hasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dapat dicapai dan saya berharap dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.
Kesemua mereka adalah antara 42 pelajar dari KYP, UnIPSAS dan SMAN yang telah menerima sumbangan wang saku dan tiket penerbangan MUIP yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain di Aqua Crystal Hall, Universiti UCYP Tanjung Lumpur, di sini.-PAHANGMEDIA

