Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2024 : Kira-kira 65,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Padang MBK 1 hari ini.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, semangat menyambut kemerdekaan rakyat Pahang juga jelas terpancar pada tahun ini.
“Alhamdulillah sambutan kemerdekaan pada tahun ini berjalan dengan baik dan lancar dan berlangsung tepat pada waktunya.
“Dan kita dapati sambutan yang diberikan oleh seluruh rakyat Pahang ini sangat baik sekali dan kita tengok semangat jiwa merdeka daripada kalangan orang ramai menyerlah daripada tahun sebelumnya.
“Dianggarkan juga lebih kurang 65,000 pengunjung yang datang untuk bersama-sama melihat perarakan dan perbarisan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Padang MBK 1 hari ini.
Menurut beliau, sambutan kemerdekaan pada tahun ini turut menitikberatkan kawalan masa dan juga pertambahan bilangan jentera bagi perarakan.
“Pada tahun ini kita melibatkan lebih banyak jentera dan aktiviti-aktiviti perbarisan serta dalam masa yang sama juga kita menitikberatkan soal ketetapan masa di mana hari ini kita dapat lihat sebelum pukul 11 pagi kita telah dapat selesaikan perarakan.
“Ini bagi mengelakkan cuaca yang panas dan ini merupakan antara penambahbaikan yang dapat kita laksanakan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Padang MBK 1 hari ini diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Ketibaan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Perarakan 111 kontinjen dengan pecahan 72 kontinjen berjalan kaki dan 39 kontinjen berkenderaan dengan jumlah peserta seramai 4,145 orang dan 563 buah kenderaan mewarnai sambutan kemerdekaan ke-67 peringkat negeri Pahang di Jalan Mahkota hari ini.-PAHANGMEDIA

