Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2024 : YAM Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengetuai perarakan kenderaan perisai pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 hari ini.
YAM Tengku Panglima Perang yang juga pemimpin trup di Rejimen Pertama Kor Amor Diraja bermula 11 Ogos 2023 mengetuai perarakan kenderaan perisai tempur jenis 30 milimeter pada sambutan ini.

Kemunculan khas YAM Tengku Panglima Perang ini merupakan sebahagian persembahan Demonstrasi Aturgerak Tim Penggempur 4 Briged (Mekanize) bagi memusnahkan musuh dengan menggunakan aset-aset yang dimiliki.
Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran lima buah jet pejuang iaitu pesawat Sukhoi Su-30MKM dari Skuadron 12 Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat terbang lintas di ruang udara bandar Kuantan serta lintas hormat oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Padang MBK 1 hari ini diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riβayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaβin Billah.
Ketibaan Paduka Baginda pada 8.30 pagi diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Datoβ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datoβ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Perarakan 111 kontinjen dengan pecahan 72 kontinjen berjalan kaki dan 39 kontinjen berkenderaan dengan jumlah peserta seramai 4,145 orang dan 563 buah kenderaan mewarnai sambutan kemerdekaan ke-67 peringkat negeri Pahang di Jalan Mahkota hari ini.

Antara kontinjen terbabit ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-kanak 3K, Malaysian Battalion (MALBATT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.
Seramai kira-kira 65,000 pengunjung membanjiri Jalan Mahkota, Jalan Merdeka, dan Jalan Besar serta Jalan Gambut untuk bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini.-PAHANGMEDIA

