Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menggesa rakyat supaya terus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara yang menjadi teras utama kestabilan dan keharmonian negara.
Menurut perutusan sempena Hari Kebangsaan Ke-67 oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini merupakan satu kewajipan untuk semua rakyat Malaysia.
“Janganlah sesekali kita memainkan sentimen dan persepsi negatif terutamanya menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan juga institusi Raja, yang akhirnya boleh mencetuskan keadaan yang tidak stabil serta merugikan kita semua.
“Alhamdulillah, kita di Pahang terus berjaya mengukuhkan perpaduan kaum dan agama yang telah kita bina sejak sekian lama.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan kebajikan rakyat di negeri ini terus diberi perhatian dengan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, pertanian, sosial dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau dalam perutusan berkenaan juga meminta rakyat di negeri ini untuk mengukuhkan semangat masyarkat berteraskan integriti, tanggungjawab, dan keadilan.
“Dalam menghadapi pelbagai cabaran di peringkat global dan tempatan, penting untuk kita mengukuhkan semangat masyarakat yang berteraskan integriti, tanggungjawab, dan keadilan.
“Hanya dengan semangat ini, kita dapat memastikan negara ini tidak hanya maju dalam bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga kerana kualiti hidup dan kebajikan rakyatnya.
“Oleh itu, marilah kita terus mengeratkan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut berharap Hari Kebangsaan kali ini menjadi titik tolak kepada pencapaian baharu dan inspirasi kepada semua.
“Akhir kata, dengan tekad dan usaha bersama, kita pasti dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang.
“Semoga Hari Kebangsaan kali ini menjadi titik tolak kepada pencapaian-pencapaian baharu dan inspirasi kepada semua untuk terus berusaha demi masa depan yang lebih baik,” katanya.-PAHANGMEDIA

