Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 31 OGOS 2024 : Seramai 1,132 penerima Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) Fasa 3 telah menerima surat kelulusan masing-masing yang telah disampaikan secara berperingkat pada bulan ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pembiayaan pinjaman ini akan disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dan urusan penyaluran dana akan dilaksanakan secara berfasa.
“Alhamdulillah sehingga semalam (Khamis) kita telah pun menyerahkan hampir keseluruhan dan hari ini (Jumaat) adalah hari terakhir, maksudnya 100 peratus akan diagihkan surat kelulusan kepada pemohon InsyaaAllah duit akan disalur secara ‘online’ tetapi surat kelulusan diberikan terlebih dahulu sebelum disalurkan dana secara ‘online’.
“InsyaaAllah mereka akan terima duitnya, Kuantan dah terima, Indera Mahkota, Paya Besar pun dah terima InsyaaAllah akan ke daerah-daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa dan Ibu Tunggal yang diadakan di Dewan Semai Bakti FELDA Kemasul, Bentong, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Unit Perancangan Operasi Dan Strategik Negeri Pahang (UPODS), Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Encik Aidid Fadhullah Abdul Sukor dan Penghulu Mukim Pelangai, Encik Mohamad Firdaus Mat Radzuan.
Pada majlis itu, seramai 189 ibu tunggal dan 89 siswa telah menerima BPP dengan jumlah keseluruhan RM110,000 manakala seramai 24 penerima pula telah menerima cek bantuan Kerajaan Pahang dengan jumlah keseluruhan RM67,200.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, YAB. Datoβ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengeluarkan satu kenyataan sebanyak RM10,495,300 jumlah keseluruhan pembiayaan I-Push Fasa 3 telah diluluskan kepada usahawan-usahawan yang menepati kriteria ditetapkan.
I-Push Fasa 1 yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 telah diluluskan kepada 804 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM6,836,500 manakala seramai 1,489 orang usahawan telah mendapat kelulusan pembiayaan melalui I-Push Fasa 2 berjumlah RM13,695,500. – PAHANGMEDIA

