Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 30 OGOS 2024 : Dasar kerajaan yang kukuh menerusi kepimpinanan yang adil dapat menjamin kesejahteraan rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan dalam membantu rakyat.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, hal ini dapat dibuktikan oleh Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Barisan Nasional apabila berjaya mengagihkan berbagai bantuan kepada rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di seluruh Pahang.

“Inilah yang dinamakan apabila kestabilan politik itu dapat dilaksanakan dan juga setiap kemajuan bergantung kepada salah satu elemennya iaitu politik, kalau kita membuat satu dasar ialah kebergantungan politik itu menentukan dasar-dasar kerajaan.
“Sebab itu, kepentingan dasar politik ini dapat menjamin perkara-perkara baharu atau pun perkara sedia ada untuk kita menambah nilai mahu pun memberikan lebih baik daripada sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2024 Kluster Siswa dan Ibu Tunggal Peringkat DUN Pelangai di Dewan Semai Bakti FELDA Kemasul di Bentong, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Unit Perancangan Operasi Dan Strategik Negeri Pahang (UPODS), Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, Presiden Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Encik Aidid Fadhullah Abdul Sukor dan Penghulu Mukim Pelangai, Encik Mohamad Firdaus Mat Radzuan.
Pada majlis itu, seramai 189 ibu tunggal dan 89 siswa telah menerima BPP dengan jumlah keseluruhan RM110,000 manakala seramai 24 penerima pula telah menerima cek bantuan Kerajaan Pahang dengan jumlah keseluruhan RM67,200.-PAHANGMEDIA

