Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius sebarang kelewatan projek yang telah diluluskan kepada pemaju untuk disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, ini disebabkan kegagalan menyiapkan projek yang diluluskan akan menjejaskan pembangunan negeri sebagaimana telah dirancang.
“Kerajaan Negeri melalui peruntukan tahun 2023 telah meluluskan sebanyak RM319,528,550 bagi membiayai 211 projek pembangunan negeri Pahang.
“Didapati hanya empat projek lewat jadual dan selebihnya di pelbagai peringkat pelaksanaan dan mengikut jadual ditetapkan.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM374,972,576 telah diperuntukkan bagi menampung pelaksanaan sebanyak 249 projek di seluruh Negeri Pahang yang merangkumi 10 agensi pelaksana. Sehingga 31 Julai 2024, terdapat lima projek lewat jadual,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah bersetuju setiap projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hanya dibenarkan Lanjutan Masa (EOT) sebanyak tiga kali sahaja sebelum disenarai hitam jika gagal.
“Pelbagai mekanisme digunakan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Antaranya ialah Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek, meningkatkan kekerapan ke tapak projek dan sebagainya.
“Selain itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju memutuskan bahawa setiap projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hanya dibenarkan Lanjutan Masa atau Extension of Time (EOT) sebanyak tiga kali sahaja.
“Sebarang kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh EOT, pemaju akan disenarai hitamkan dan dilaporkan kepada pihak CIDB untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut beliau, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan oleh Agensi Persekutuan di negeri ini dipantau rapi oleh Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
“Manakala bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan oleh Agensi Persekutuan, sebanyak RM3.19 bilion telah diperuntukkan.
“Projek-projek ini dipantau rapi oleh Pejabat Pembangunan Negeri Pahang melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD),” katanya.
Beliau juga turut menyatakan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bekerjasama dan memudahcara semua projek yang diluluskan untuk manfaat rakyat negeri ini.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dan memudahcara untuk memastikan semua projek yang diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan rakyat Pahang menerima manfaat menerusi projek-projek tersebut demi kesejahteraan bersama,” katanya.-PAHANGMEDIA

