Oleh : Fansurina Abdullah
MIRI, 24 OGOS 2024 : Atlet pelayaran Pahang, Nur Alia Amera Mohamad Latif, 21, teruja apabila berjaya menewaskan atlet Sukan Sea dari Perlis dan atlet dari Wilayah Persekutuan pada acara ILCA 6 Wanita yang berlangsung di Marina Bay, Miri di Sarawak.
Menurutnya, kemenangan ini memberikan keyakinan kepada dirinya untuk mempersiapkan diri bagi sesi kelayakan ke Sukan Sea pada di Thailand pada tahun hadapan.
Nur Alia Amera yang merupakan bongsu daripada lima beradik mengidolakan ketiga-tiga kakaknya dalam sukan pelayaran kini mensasarkan Sukan Sea dan Sukan Olimpik sebagai platform bagi mengembangkan minatnya dalam sukan itu.
“Saya mengidolakan ketiga-tiga kakak saya kerana itulah saya memberanikan diri untuk menyertai sukan ini sejak berusia 10 tahun lagi ketika melihat semua kakak saya menjalani latihan pelayaran,” katanya.

Ketiga-tiga kakaknya iaitu Nur Afiqah Mohamad Latif, 29, berada di tangga keenam pada ILCA 4, World Championship 2010 dan Nur Shazrin Mohamad Latif, 26, berjaya memperoleh pingat emas pada acara ILCA 6 Sukan Asia Tenggara di Singapore 2015, acara ILCA 6 Sukan Asia Hangzhou 2022 serta mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 manakala kakak ketiganya, Nurliyana Mohamad Latif, 28, pula menyertai acara ILCA 6 team racing, Sukan Sea Malaysia 2017 dengan memperoleh pingat emas.
Nur Alia Amera yang sudah menyertai SUKMA sebanyak lima kali pernah menyumbang satu pingat emas (SUKMA Kuala Lumpur 2022) dan satu pingat gangsa (SUKMA Perak 2018) pada acara sama.
Dia yang berasal dari Pekan, Pahang juga pernah berada pada kedudukan keempat Olympic Week Enoshima 2023, pingat emas pada Thailand National Championship 2024 dengan kesemuanya acara ILCA 6.
Nur Alia Amera turut berkongsi cabaran persekitaran di laut terbuka Marina Bay Miri dengan ombak yang lebih besar berbanding tempat latihannya di Pulau Langkawi yang memberikan cabaran kepadanya untuk mengemudi layar.
Pada SUKMA Sarawak XXI 2024 kali ini, pasukan pelayaran telah menghantar seramai 12 atlet terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita. – PAHANGMEDIA

