Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 01 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM15 juta kepada usahawan di negeri ini yang memiliki sijil halal untuk mengembangkan perniagaan melalui satu tabung pinjaman khas.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata tabung pinjaman khas ini telah diumumkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang.
“YAB. Menteri Besar Pahang sendiri memang memandang serius dasar halal ini dan dalam pembentangan bajet kelmarin, disebutkan kita (Kerajaan Negeri Pahang) menyediakan sebanyak RM15 juta untuk usahawan yang memiliki sijil halal.
“Ini bagi mereka membuat pinjaman supaya mereka dapat modal dan usaha mereka dapat dikembangkan dan dimajukan. Maknanya usaha halal ini sangat baik dan memberikan impak kepada para usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Sesi Town Hall Dasar Halal Negara 2025-2035 (DSN 2035) bagi Zon Timur di Hotel Zenith.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Menurut beliau lagi, pinjaman di bawah tabung khas ini akan diuruskan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang dengan kerjasama JAKIM dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“JAKIM melalui JAIP menyediakan sijil halal, jadi usahawan yang ada sijil halal, mereka boleh memohon. Agensi yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti pengusaha-pengusaha ini adalah Jabatan Pertanian.
“Jadi usahawan yang berminat boleh ke Jabatan Pertanian untuk buat pinjaman sama ada RM5,000, RM10,000, RM20,000 daripada Kerajaan Negeri untuk memacu modal perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, menurut YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin, sesi town hall di Pahang ini merupakan sesi jelajah terakhir pihak JAKIM dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) selepas lima sesi sebelum ini bagi mendapat pandangan dan idea daripada usahawan dari seluruh negara.-PAHANGMEDIA

