Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 JULAI 2024 : Seorang pemilik syarikat didenda sebanyak RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Khas (Trafik) kerana menebang pokok milik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tanpa kebenaran.
Liau Hai Keong, 55, mengaku bersalah menebang pokok jenis Batai Laut yang lilitannya melebihi 0.8 meter pada 21 April lepas di Jalan IM7/5 Bandar Indera Mahkota selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.
Dia didakwa di bawah Seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam tertuduh, Mohd Shuhairi Ziqrul Sapi memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum memandangkan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya serta pengakuan bersalah itu telah menjimatkan kos dan masa semua pihak.
Beliau berkata anak guamnya juga telah membayar denda kesalahan sivil sebanyak RM10,000 dan kompaun vandalisme sebanyak RM2,000 berkaitan kes ini sebelum ini.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa MBK, Muhammad Nur Hafiz Ramlan memohon mahkamah mengenakan denda yang setimpal memandangkan pokok yang ditebang merupakan pokok warisan berusia lebih 50 tahun serta sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Terdahulu, tular video hasil perkongsian melalui laman sosial Facebook beberapa orang lelaki sedang memotong pokok di Jalan IM7/5 dan siasatan pihak MBK mendapati bahawa pokok tersebut telah ditebang tanpa kebenaran bertulis oleh MBK. -PAHANGMEDIA

