Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memberi bantuan kepada usahawan dan syarikat pemula di negeri ini bagi mengembangkan pasaran mereka ke tahap yang lebih luas melalui program Demo Day Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA).
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, sebanyak 59 syarikat telah mendapat manfaat daripada program ini yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
“Ia telah bermula dua tahun lalu yang bertujuan menggalakkan syarikat-syarikat pemula di Pahang untuk menceburi bidang ini kerana secara tradisinya startup ini hanya tertumpu kepada negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
“Kita juga nak wujudkan komponen-komponen lain selain program pemacu perniagaan seperti dana daripada major capital atau institusi mahupun individu yang boleh memberi dana pemula kepada usahawan ini supaya mereka dapat komersialkan pernigaan mereka serta hasil kajian atau karya intelektual yang ada di universiti di Pahang.
“Universiti seperti UMPSA, UIA Kuantan, UiTM Jengka, mereka ini ada hasil kajian dan sekiranya mereka tak dapat komersialkan ia adalah satu kerugian yang besar kepada Pahang dan Malaysia kerana mereka memiliki banyak idea yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Demo Day Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) Kohort ke-4 yang merupakan kerjasama Yayasan Pahang bersama BEYOND4 di Yayasan Pahang.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Ketua Pegaiwai Eksekutif BEYOND, YBhg. Encik ST. Rubaneswaran; dan Ketua Pegawai Korporat Yayasan Pahang, YBhg. Encik Airulamri Amran.
Menurut beliau, program PISA ini merupakan inisiatif penting dalam memajukan usahawan inovasi teknologi di Pahang selain dapat membantu mempercepat pertumbuhan usahawan pemula di Pahang.
“Mereka perlukan satu platform seperti PISA yang mana mereka dapat belajar selok-belok macam mana nak komersialkan, ada mentor, ada access kepada dana, dan mungkin pasaran yang lebih luas melalui rangkaian syarikat seperti BEYOND4 yang boleh membantu syarikat-syarikat pemula ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

