Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang disifatkan sangat prihatin dengan kebajikan para mahasiswa anak Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa yang disalurkan.
Menurut pelajar tahun kelima Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) dalam jurusan diploma Pengurusan Perniagaan, Nursyamimi Edora Sabarudin, 20, bantuan ini dapat meringankan beban kewangan para pelajar dari segi keperluan peribadi dan pembelajaran.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang dengan bantuan BPP ini yang mana sangat prihatin dengan pelajar-pelajar Negeri Pahang dan kami akan gunakan sehabis baik.
“Saya bercadang akan gunakan untuk makanan di asrama, dan perbelanjaan kenderaan pulang ke rumah memandangkan kami pelajar amat memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, menurut pelajar diploma Teknologi Maklumat, R. Darrshan, 20, turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas sumbangan BPP Kluster Siswa ini.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Dato’ Sri Shahaniza kerana memberikan bantuan yang amat bermakna kepada saya.
“Saya bercadang nak guna bantuan ini untuk pendidikan saya, nak bayar yuran kursus dan juga pengangkutan saya berulang alik dari rumah ke kelas.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan bantuan ini kepada kami mahasiswa mahasiswi Negeri Pahang,” katanya.
Menurut pelajar diploma Teknologi Maklumat, Yoe Wei Loong, 20, bantuan yang diterima ini dapat meringankan perbelanjaan sara hidupnya.
“Saya ucap terima kasih dan rasa bangga bila dapat bantuan ini. Saya akan guna untuk belanja makan dan belajar saya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana beri Bantuan Prihatin Pahang ini kepada saya dan rakan-rakan,” katanya.
Seramai 440 mahasiswa anak Pahang daripada Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) telah menerima BPP Kluster Siswa bernilai RM400 seorang yang disampaikan oleh Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, YH. Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin di Dewan Utama Yayasan Pahang hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi. -PAHANGMEDIA

