Oleh: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 JUN 2024: Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan kira-kira RM 35,000 kepada beberapa persatuan dan pertubuhan termasuk Jabatan Pelajaran Pahang (JPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kelab Pemilik Motosikal Kelajuan Automatik Kuantan Pahang (ASOC).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata sumbangan ini adalah untuk mereka melaksanakan program atau aktiviti untuk kelab dan persatuan masing-masing.

“Alhamdulillah, sumbangan ini dapat diberikan kerana Kerajaan Negeri Pahang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik ketika ini.
“Lebihan hasil atau pendapatan tersebut dapat disalurkan kepada rakyat yang memerlukan termasuk juga pertubuhan – pertubuhan dan persatuan – persatuan serta kelab yang berikut.

“Marilah kita sama-sama doakan agar Kerajaan Negeri Pahang mampu untuk terus mencatat prestasi ekonomi yang baik sekaligus meneruskan program – program kebajikan dan sumbangan seperti ini demi manfaat rakyat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada beberapa persatuan dan pertubuhan di Stadium Darul Makmur hari ini.
Dalam pada itu, YB Tuan Fadzli turut menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdi Wan Ismail yang sentiasa mengambil berat serta prihatin dengan keperluan serta kehendak masyarakat di Pahang tidak kira latar belakang, warna kulit dan bangsa.
“Mari kita mendoakan YAB Menteri Besar Pahang agar segera sembuh susulan rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini insyaAllah,” katanya. -PAHANGMEDIA

