Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) memantau perkembangan atlet golf dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, untuk itu pihaknya telah mengadakan sesi dialog bersama penyelaras, pengurus dan jurulatih bagi mendapatkan maklumat berkenaan prestasi dan persiapan semasa atlet.

“Pertemuan ini adalah rutin saya bagi memantau keperluan dan prestasi setiap atlet, bukan hanya sukan golf agar semuanya berada dalam siap sedia untuk bertanding di temasya SUKMA Sarawak tidak lama lagi.
“Bagi sukan golf, setakat ini ada 12 orang atlet dalam senarai pemilihan dan pada minggu hadapan akan diadakan pemilihan akhir iaitu seramai lapan orang atlet yang akan dibawa berjuang dalam temasya SUKMA nanti,” katanya ketika ditemui selepas bertemu atlet sukan golf Pahang di Mahkota Golf and Country Club (MGCC), di sini.

Turut hadir sama Penyelaras Sukan Golf, Encik Mohammad Hapifuddin Zakaria serta Pengurus Pasukan, Encik Mohd Norsham Nisam.
Dalam pada itu, YB Tuan Fadzli memberitahu, kebajikan atlet golf Pahang amat diutamakan dan diberi penekanan bagi meningkatkan prestasi atlet.
“Kita turut bawa jurulatih dari luar untuk buat penilaian prestasi semasa atlet selain pemantauan secarat teknikal. Selain itu saya juga dah bincang dengan jurulatih untuk membawa atlet menyertai beberapa kejohanan luar untuk memantapkan lagi persediaan para atlet golf.
“Setakat ini kita sasarkan dua pingat bagi sukan golf iaitu emas bagi pasukan lelaki dan perak bagi pasukan wanita. Saya lihat mereka sudah bersedia dan saya harap mereka mampu mencapai sasaran atau tampil lebih cemerlang nanti,” katanya. -PAHANGMEDIA

