Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 JUN 2024 : Sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dilihat mampu meningkatkan mutu sukan di negeri ini.
Menurut penerima sumbangan, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Encik Mustaza Mukri yang mewakili Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Negeri Pahang, Encik Yusof Kassim berkata sokongan kewangan ini penting untuk meningkatkan mutu sukan Negeri Pahang.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, terutama YB. Fadzli yang mewakili Menteri Besar Pahang.
“Kami menerima sumbangan sebanyak RM10,000 untuk badan kebajikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bagi kegunaan anak-anak negeri Pahang, terutamanya dalam sukan.
“Kami mengucapkan terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan dan semangat untuk memajukan sukan di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan cek sumbangan kepada tiga penerima di Pejabat Perbadanan Stadium Darul Makmur oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Sementara itu, Bendahari Kelab Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Puan Ain Sujaihah Mohd mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan sebanyak RM15,000 yang diterima.

“Sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang ini banyak membantu untuk Kelab RTM Pahang. Kami menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian, kesukanan, dan riadah bersama staf RTM. Kami juga sedang merancang program bersama veteran RTM. Terima kasih kerana membantu merealisasikan impian program-program kami,” katanya.
Seorang lagi penerima, Encik Shazali Embong dari Kelab Pemilik Motosikal Kelajuan Automatik Kuantan Pahang (ASOC), turut menzahirkan rasa syukurnya apabila menerima sumbangan sebanyak RM10,000 dari Kerajaan Negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar atas sumbangan ini. Ini merupakan kali pertama kelab kami menerima sumbangan dan kami akan bekerjasama untuk mengaktifkan semula kelab kami serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkasakan komuniti rakyat melalui pelbagai inisiatif sumbangan bagi memajukan setiap kelab di Negeri Pahang dengan menyumbangkan RM35,000 diserahkan kepada para penerima. –PAHANGMEDIA

