Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 04 JUN 2024 : Bermula dengan idea yang dicetuskan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) kini berjaya menempa kedudukan sebagai sebuah institusi paling cemerlang di negara ini.
Begitu membanggakan apabila institusi milik penuh Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang ini mencatat tempat pertama dalam keputusan SPM 2023 yang diumumkan pada Isnin lalu mengatasi sekolah berprestasi tinggi lain di peringkat kebangsaan, sekaligus mencatatkan sejarah tersendiri sejak hampir tiga dekad penubuhannya.
Ini bersesuaian dengan prestasi MTNP yang berjaya mengekalkan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang untuk tempoh sepuluh tahun berturut-turut.

Sejajar dengan pencapaiannya itu, MTNP mahu terus memandang ke hadapan dengan meletakkan sasaran untuk menjadi pembekal pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi yang ditemui berkata, pihaknya meletakkan sasaran antara lima ke sepuluh tahun, pelajar lepasan MTNP dapat meneruskan pengajian mereka ke IPT terkemuka dunia.
“Sebelum ini sudah ada yang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan kita memang berharap lebih ramai lagi dapat ke luar negara.
“Melalui sasaran itu kita adakan program ‘Top 50 University In The World’ di mana kelebihannya dapat meneruskan pengajian di IPT terbaik dunia dan boleh dapat tajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah, PETRONAS atau GLC lain,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa kemasukan ke Maahad Tahfiz Negeri Pahang masih sama di mana calon perlu lulus semua syarat yang ditetapkan termasuk simulasi yang dijalankan selama seminggu.
“Sudah pasti keperluan adalah sama iaitu mementingkan calon pelajar yang memenuhi keperluan akademik, hafazan (Al-Quran) dan juga mantap dari segi sahsiah.
“Kita tidak mahu pelajar yang hanya bagus dalam pelajaran atau Al-Quran sahaja, ia mestilah seiring dengan sikap dan sahsiah yang cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Indera Mahmud menyifatkan sokongan penuh yang diterima turut menjadi dorongan kepada kejayaan MTNP di mana sehingga kini Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah membelanjakan RM51.2 juta bagi membiayai 713 pelajar mendapat pendidikan peringkat menengah di MTNP.
“Kita bertuah kerana MTNP mendapat sokongan penuh KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penaung diraja dan YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MTNP, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Terim kasih juga kepada semua tenaga pengajar, ibu bapa dan pelajar MTNP yang telah berusaha sedaya upaya dan bekerjasama mencatatkan kejayaan ini,” katanya.
MTNP mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 dalam peperiksaan tersebut yang telah diumumkan pada 27 Mei 2024 berbanding 1.20 pada tahun 2022 dan 1.54 pada tahun 2021.
Ini adalah kali ke sepuluh MTNP berjaya mengekalkan pencapaian terbaik SPM di peringkat Negeri Pahang di mana pada 2022, MTNP berjaya berada di kelompok lima terbaik di Malaysia seterusnya meningkat ke tempat pertama pada tahun 2023.
Daripada 56 calon yang menduduki peperiksaan ini, 23 calon atau 41 peratus berjaya mencatat keputusan straight A manakala 48 calon atau 87 peratus berjaya memperolehi 8A ke atas.
Lebih istimewa lagi kesemua pelajar ini telah berjaya khatam dan menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Selain itu, 44 daripadanya telah lulus ujian syahadah (membaca secara hafazan tanpa salah) kategori lima, 10 dan 15 juzuk Al-Quran. – PAHANGMEDIA

