Oleh : Ain Nadhirah Basha
MARAN, 02 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan baki seramai 1,810 peneroka Felda di negeri ini akan menerima suratan hakmilik tanah mereka dalam tahun ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata namun ia bergantung kepada penyelesaian faktor dalaman yang merupakan penyebab kelewatan pemberian suratan hakmilik tanah.
“Kita cuba selesaikan tahun ini, kalau 96 peratus telah kita selesaikan, tak kan sikit lagi kita tak boleh selesaikan.
“Tetapi yang ini (baki 4 peratus) melibatkan persetujuan keluarga, masalah dari keluarga, bukan masalah Kerajaan Negeri, masalah PTG (Pejabat Tanah dan Galian), dan sebagainya.
“Kadang-kadang ada disebabkan masalah peneroka telah meninggal dan menyebabkan masalah (prosedur). Itu yang saya sebut sebagai masalah teknikal, daripada segi Kerajaan Negeri tak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya FELDA Peringkat Negeri Pahang di Perkarangan Stadium Tun Razak, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Menurut beliau, sehingga kini Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan 96 peratus pemberian suratan hak milik kepada peneroka di negeri ini.
“Bagi pengurusan hak milik peneroka, sehingga kini Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan sebanyak 96 peratus daripada 43,126 orang peneroka FELDA seluruh Pahang, di mana seramai 41,316 orang peneroka telah pun menerima suratan hak milik tanah mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

