Oleh : Ain Nadhirah Basha
MARAN, 02 JUN 2024 : Pahang negeri pertama menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang bagi memfokuskan kepada kebajikan anak Felda yang berada di luar Pahang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan Sekretariat Perantau Anak Felda Pahang pada Ogos ini juga bagi mendekati dan menyantuni anak Felda di perantauan.
“Sebelum ini kita nak letakkan sekali (anak Felda) di dalam Perantau Anak Pahang yang berada di luar Pahang. Jadi saya fikir anak Felda yang berada di luar Pahang pun ramai, jadi untuk lebih fokus, lebih menjurus, senang sekiranya ada program, maklumat dan sebagainya. Saya telah mengasingkan (sekretariat) dan meletakkan di bawah (tanggungjawab) Dato’ Amizar.
“Maknanya kita dapat tahu anak-anak Felda yang berada di luar Pahang ni ramai mana, mungkin kita nak buat program, kita nak buat contohnya jamuan raya, ramah mesra, atau mendengar halatuju yang di bawa oleh Pengerusi Felda, dan anak-anak Felda di luar Pahang mendapat penerangan yang jelas.
“Selama ini saya mendapat mereka ini hanya mendengar cerita-cerita yang belum ada kesahihannya, kita tak mahu macam tu. Kita perlu memberitahu kepada mereka maklumat yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Segalanya FELDA Peringkat Negeri Pahang di Perkarangan Stadium Tun Razak, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Tambah beliau, penubuhan sekretariat ini juga dilihat dapat membetulkan sentimen dan persepsi salah yang disebarkan kepada anak-anak perantau Felda ini.
“Saya ada jumpa anak-anak Felda ini dan bertanya kenapa mereka tidak suka kepada Kerajaan hari ini? Mereka kata pemberian hakmilik slow sangat tapi bila saya kata dah beri 96 peratus, mereka terkejut. Jadi mereka mainkan sentimen dengan mengatakan seolah-oleh Kerajaan Negeri Pahang tidak bersetuju beri suratan hakmilik walhal kita telah laksanakan.
“Tapi sebab tidak ada platform yang khusus, jadi mereka terkeliru dan terpengaruh dengan sentimen dan persepsi seolah-olah Kerajaan tidak membantu mereka,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira 40,000 anak perantau Felda di luar Pahang telah dikenalpasti dan mendaftar di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang dan Sekretariat Mahasiswa Pahang setakat ini. -PAHANGMEDIA

