KUANTAN, 30 MEI 2024 : Kejayaan Kerajaan Negeri Pahang menoktahkan bilangan rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam sistem e-Kasih tahun lalu membuktikan komitmen serta usaha yang dilakukan bagi membantu golongan ini berkesan.
Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh berkata, data di dalam sistem eKasih merupakan data yang dinamik.
“Ia bermaksud data yang boleh berubah, contohnya seorang Ketua Isi Rumah (KIR) pada masa sekarang adalah dalam status Miskin, walau bagaimanapun pada bulan hadapan akan menjadi Miskin Tegar akibat kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan dan penambahan ahli isi rumah.
“Statistik Miskin Tegar pada Januari tahun lalu ialah sebanyak 4,968 KIR di mana ia menurun sebanyak 60.8 peratus apabila seramai 3,022 daripada jumlah tersebut terkeluar daripada status Miskin Tegar pada 31 Disember 2023.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras, kerjasama dan usaha jitu daripada pelbagai pihak membuahkan hasil apabila Negeri Pahang berjaya menoktahkan baki sejumlah 1946 KIR pada 28 Mei baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama beliau menjelaskan antara usaha yang menyumbang kepada kejayaan tersebut ialah bantuan-bantuan daripada agensi pemberi bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan agensi-agensi lain di mana bantuan-bantuan itu dikira sebagai pendapatan Isi Rumah.
“Selain itu pengurangan jumlah isi rumah, sebagai contoh anak-anak KIR yang telah berpindah keluar sama ada kerana berkahwin atau bekerja serta perubahan pendapatan utama Isi Rumah yang bertambah.
“Walau bagaimanapun, pelbagai usaha dan bantuan akan terus disalurkan bagi memastikan semua isi rumah Miskin Tegar dalam senarai baru eKasih 2024 dapat dibantu dan dikeluarkan dari kelompok miskin tegar,” katanya. -PAHANGMEDIA

