Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MEI 2024 : Pelajar Orang Asli, Putri Mas Ayu Sudin, dari SMK Tengku Ampuan Afzan (SEMETAAF) Chenor, Maran, membuktikan bahawa kesungguhan dan keinginan membantu keluarga yang susah boleh menjadi pendorong kejayaan.
Putri berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan meraih 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, dan bercadang untuk melanjutkan pelajaran di matrikulasi dalam bidang perakaunan dengan harapan dapat menjadi seorang akauntan.

“Saya merasa sangat gembira dan teruja kerana tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang ini. Inspirasi saya adalah untuk membantu keluarga saya yang susah dan untuk berjaya seperti kakak-kakak saya,” katanya.
Dia juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan hadiah yang diterimanya, yang menjadi dorongan untuk terus berusaha.
Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang SPM 2023 ini diadakan di Dewan SUK, Blok C, Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.
Majlis ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Seramai 99 pelajar menerima sumbangan ini, terdiri daripada 48 Pelajar Cemerlang Orang Asli dan 51 Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang.

Sementara itu, Fatimah Azzahraa’ Mohd Sabri, dari Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, yang memperoleh 9A dalam SPM, berkongsi bahawa dia terkejut dengan pencapaiannya sehingga menyebabkan dirinya menyemak beberapa kali adakah keputusan itu namanya.
Fatimah juga sempat berkongsi cara dirinya mengulangkaji pelajaran adalah dengan memahami apa yang dipelajari dengan betul.
“Sebelum tidur, saya akan belajar dan memastikan tidur yang cukup serta membaca sehingga faham. Saya bercita-cita menjadi pensyarah bahasa Arab, dengan inspirasi daripada mak yang selalu memberi sokongan kerana dia berada dalam bidang agama,” katanya.

Muhammad Syafi Azid Mohd Zulaini, 18, dari Sekolah Menengah Agama Chenor, yang turut mendapat 9A, menyatakan rasa syukur dan gembira, terutama kepada kedua ibu bapanya.
“Saya agak terkejut dengan keputusan cemerlang ini, tetapi alhamdulillah rezeki ini besar. Terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan penghargaan ini. Selepas ini, saya akan melanjutkan pengajian ke Sijil Tinggi Agama Malaysia,” katanya.
Kejayaan pelajar-pelajar ini menunjukkan bahawa dengan usaha dan dedikasi, pelajar Orang Asli dan pelajar sekolah agama mampu mencapai kejayaan akademik yang cemerlang. -PAHANGMEDIA

