Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 30 MEI 2024 : Seramai 3700 orang pelatih telah menerima ilmu dan manfaat di YP Advanced Skills sejak tahun 2018 di mana puratanya telah memiliki kerjaya dan ada yang berjaya dengan perniagaan sendiri.
Pengurus Besar YP Advanced Skills, Puan Hajjah Norliza Abd Mubin berkata, bermula daripada 31 orang pelatih, YP Advanced Skills kini berjaya menghasilkan ribuan tenaga kerja yang berkualiti dan berdaya saing.
“Konsep kita ialah ‘train and place’ di mana pelatih yang berminat dan dipilih berpeluang menimba ilmu dalam lapan bidang yang disediakan selama dua hingga ke tiga bulan sehingga terima sijil kompetensi masing-masing. Dalam tempoh itu kita juga mengatur penempatan kerja mereka dengan kerjasama majikan atau pemain industri.
“Kita juga menyesuaikan tenaga kerja dengan keperluan industri dan ia merupakan satu jaminan yang disediakan di institusi ini. Antaranya kerjaya dalam sektor minyak dan gas, perkapalan dan pelabuhan termasuk kursus baru iaitu ‘live hosting’ yang memenuhi keperluan dan perkembangan zaman serta masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Pendaftaran Program Jaminan Kerjaya 2024 di YP Advanced Skill, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata YP Advanced Skills merupakan merupakan inisiatif dan komitmen Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang untuk menyediakan masa hadapan yang cerah kepada mereka yang mahu mengubah kehidupan.
“Ia juga merupakan satu inisiatif untuk menangani masalah pengangguran dan semua berjalan dengan lancar melalui penyediaan dana daripada Yayasan Pahang dan juga pemain industri yang terlibat sendiri.
“Program dijalankan secara percuma dengan syarat kena patuhi peraturan yang ditetapkan oleh penaja dan majikan yang terlibat. Kita turut melibatkan pemain industri sejak di peringkat pembentukan modul bagi melihat berapa lama tempoh latihan dan keperluan lain yang bersesuaian dengan kerja mereka,” katanya.
Selain itu katanya, kemenjadian pelatih juga perlu selari dengan tagline YP Advanced Skills iaitu ‘We Train Skills, We Hire Attitude’ di mana selain ilmu, pelatih perlu mempunyai nilai yang menepati keperluan industri termasuk sikap rajin, cekap dan sentiasa komited dengan pekerjaan. -PAHANGMEDIA

