Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan senarai golongan miskin tegar melalui segenap usaha yang dilakukan demi kesejahteraan rakyat pelbagai golongan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Kerajaan Negeri melalui data yang dikeluarkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri.
“Pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan 60 peratus daripada 4,968 orang dari senarai miskin tegar dan semalam kita berjaya sampai ke angka sifar. Ia tidak berlaku begitu sahaja kerana pelbagai bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri termasuk 22 siri Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dilaksanakan.
“Kemiskinan adalah sesuatu yang subjektif, mungkin hari ini (senarai) kosong tapi tidak mustahil ia boleh kembali ada bergantung kepada keadaan. Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau dan berusaha mengesan di manakah golongan ini berada untuk dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Pelajar Cemerlang SMA Negeri Pahang SPM 2023 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi, Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, Pegawai Eksekutif ORACO, Dato’ Muhammad Olian Abdullah, barisan Exco serta kepimpinan Kerajaan Negeri.
Seramai 99 orang pelajar cemerlang diraikan dalam program berkenaan terdiri daripada 51 orang pelajar Sekolah Menengah Agama dan 48 orang pelajar Orang Asli dari seluruh negeri Pahang.

Sementara itu mengulas berkenaan pencapaian cemerlang pelajar dalam keputusan SPM 2023, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pelbgai usaha diambil bagi menjaga keperluan pelajar termasuk menangani keciciran pelajar anak-anak Orang Asli.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyediakan keperluan persekolahan sama ada dalam bentuk material atau pun tunai.
Hari ini kita nampak hasil apabila anak-anak ini menunjukkan kecemerlangan.
“Kita cakna dengan pendidikan, contoh buktinya ialah pencapaian Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang berada di tangga nombor satu (keputusan cemerlang SPM) di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, pencapaian ini bukan mudah kerana ia adalah usaha bersama dalam mewujudkan keselesaan, keharmonian dan perpaduan. Suasana yang baik ini membantu menyumbang kepada pencapaian cemerlang pelajar.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada guru, ibu bapa dan pelajar kerana fokus mencapai kejayaan. Semoga terus mengukir kejayaan dan mengharumkan nama diri, ibu bapa dan juga negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

