Oleh: Fairus Mohd
BERA, 23 MEI 2024 : Seramai 30,600 rakyat di negeri ini telah menikmati manfaat Kad Kesihatan Kasih Makmur Pahang yang merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi menjaga kebajikan rakyat.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, inisiatif ini melibatkan klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga laporan daripada pemimpin setempat seperti ketua kampung dan penghulu.
“Nilai bantuan masih sama iaitu sebanyak RM500 cuma ada penambahan penerima di setiap DUN iaitu seramai 31 orang kerana kita ada peruntukan yang mencukupi untuk meluaskan bantuan ini.
“Promosi hebat yang dilakukan termasuk ketika Karnival Makmur Pahang di setiap daerah menarik perhatian ramai untuk memohon. Jadi kita tapis setiap permohonan dan sudah pasti ia akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian Kad Sihat warga emas atau Pahang Pride Kasih kepada penerima di Balairaya Kampung Kerayong, di sini.
Sementara itu beliau berkata, bagi Daerah Bera melibatkan tiga DUN, seramai 1700 orang penerima terdiri daripada Skim Bantuan OKU Tidak Bekerja dan dari Skim Bantuan Warga Emas.
“Daripada jumlah berkenaan seramai 300 orang penduduk di DUN Guai tersenarai sebagai penerima manfaat Kad Kesihatan yang diedarkan hari ini.
“Terima kasih YAB Menteri Besar Pahang di atas inisiatif yang amat baik untuk rakyat di negeri ini dan saya selaku wakil rakyat turut berkongsi rasa syukur dan gembira di atas keprihatinan Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

