Oleh: Fairus Mohd
BERA, 23 MEI 2024 : Penerima bantuan Kad Kesihatan Kasih Makmur mengakui rasa sakit ditanggung sedikit sebanyak terasa ringan dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang.
Bagi ibu tunggal yang juga OKU dari Taman Kerayong Indah, Puan Salmy Churaimy, 43, ini adalah tahun kedua dia menerima bantuan kad kesihatan dan tiada kata sebenarnya yang dapat menggambarkan rasa syukur dirinya terhadap semua bantuan yang diterima.
“Terima kasih sangat-sangat kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana banyak bantu, kalau kata Kerajaan Negeri tak bantu contohnya macam saya ni, seorang ibu tunggal dan ada sakit kronik, jadi sukarlah kehidupan.

“Inisiatif ini saya telah gunakan dengan sebaik mungkin. Terima kasih banyak-banyak atas keprihatinan Menteri Besar Pahang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai terhadap rakyat seperti kami semua. Terima kasih sekali lagi atas semua bantuan yang diterima, saya bersyukur sangat-sangat,” katanya sebak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan yang menghantar Kad Kesihatan Kasih Makmur di kediamannya hari ini.
Ucapan terima kasih turut disampaikan pemuda dari Kampung Padang Luas, Muhammad Nasir Zakaria, 20, yang bersyukur kerana menerima bantuan dari sudut keperluan kesihatan melalui kad Pahang Pride Kasih.
“Saya mengalami kecederaan tulang kaki termasuk peha yang hancur akibat kemalangan empat tahun lalu. Sekarang saya merupakan OKU yang tidak bekerja.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang di atas pemberian kad bernilai RM500 untuk digunakan tahun ini. Kalau boleh teruskanlah pada tahun-tahun akan datang kerana ia benar-benar meringankan beban kami,” katanya.

Seorang lagi penerima kad bantuan kesihatan tersebut Puan Norshar Jerogan dari Taman Jati, turut berterima kasih di atas pemberian kad bagi kemudahan mendapatkan ubat-ubatan.
“Sebelum ini kalau demam sikit-sikit pun kena pergi Hospital Bera ambil ubat, jadi kad ini memudahkan saya dapat ubat di klinik yang dekat dengan rumah.
“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang, Menteri Besar Pahang dan YB Dato’ Sabariah kerana bagi kemudahan kad ini kepada saya,” katanya. -PAHANGMEDIA

