Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim & Fansurina Abdullah
KUANTAN, 23 MEI 2024 : Kerajaan Pahang memuktamadkan penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 yang menandakan satu langkah penting ke arah pelaksanaan inisiatif 5G di Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dengan siapnya 46 menara telekomunikasi ini, Pahang kini berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan aspirasi menjadi negeri yang terkedepan dalam teknologi telekomunikasi.
“Alhamdulillah, hari ini JENDELA di Pahang berada pada landasan yang sepatutnya dan kita fokus pada inisiatif 5G.
“Saya ingin ucap tahniah kepada Theta Telecoms atas usaha dan gerak kerja yang baik di Pahang, menjadi antara syarikat terawal siap 46 menara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baru Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Negeri Pahang di Jaman Tory Resepi, Indera Mahkota.
Turut hadir ialah Pengarah Negeri, SKMM Pejabat Negeri Pahang, En Shahrizal Husin, Pengarah Pembangunan Koridor Utiliti Pahang (KUP), YBrs Ir Ts Mohd Sably Abdul Latiff, Ketua Jabatan Theta Telecoms Sdn Bhd, En Zahari Abdul Jalil, DIGI Telecommunications Sdn. Bhd., En Mohd Zhariff bin Md Raus, Celcom Axiata Berhad, En Norul Affendy Bin Mohd Sallehudin, dan UMOBILE, Mohd Firdaus bin Ibrahim.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong syarikat-syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang dengan mengeluarkan surat sokongan agar mereka diberi tumpuan pada fasa seterusnya.
“Saya tidak teragak-agak untuk keluarkan surat sokongan daripada Kerajaan Negeri kepada syarikat-syarikat ini demi memastikan mereka diberi tumpuan pada jendela 2.0.
“Kerjasama sebegini penting untuk memastikan Pahang berada di kedudukan terbaik pada jendela 2.0 nanti. Saya menyatakan komitmen bahawa syarikat yang terbaik dan siap awal harus diberi keutamaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

