Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 18 MEI 2024 : Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8 pada pukul 5.50 petang ini.
Suasana hiba menyelubungi majlis yang dijalankan mengikut istiadat pengebumian PDRM dengan dihadiri Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman.
Turut sama, ahli keluarga, sanak saudara, pegawai serta anggota polis daripada IPK Pahang dan IPD Kuantan yang hadir memberi penghormatan buat kali terakhir.
Usai pengebumian, Dato’ Sri Yahaya Othman menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham, Encik Ahmad Said Md Piah, 65, sebagai tanda penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhamad Syafiq bersama seorang lagi anggota yang terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor pada pukul 9.15 pagi untuk disembahyangkan.
Jenazah dibawa ke Pahang pada pukul 11.40 pagi dan tiba di kediaman ibu bapanya di Taman Seri Mahkota Jaya pada pukul 4.40 petang untuk disolatkan sekali lagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.54 pagi semalam, dua anggota polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang.
Kedua-dua mangsa, Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang sedang bertugas dilaporkan ditembak di muka manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Seorang lagi anggota, Koperal Mohd. Hasif Roslan yang cedera di bahagian bahu dan perut akibat ditembak kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil. -PAHANGMEDIA

