Oleh : Fansurina Abdullah
ROMPIN, 18 MEI 2024 : Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan perumahan PR1MA Pahang di atas tapak seluas 50 ekar di Kampung Tekek, Pulau Tioman, di sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa merancang bagi menyediakan peluang kepada penduduk-penduduk di Tioman untuk memiliki rumah dan di samping itu Kerajaan Negeri juga telah meluluskan tanah seluas 50 ekar untuk mendirikan projek PR1MA Pahang di Pulau Tioman.
“Kalau tiada halangan dan tiada masalah projek ini dapat dilaksanakan dan kita sama-sama berdoa agar projek-projek ini dapat kita realisasikan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Tekek, Pulau Tioman.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Pengurus Besar Lembaga Pembagunan Tioman (TDA), YH. Dato’ Haji Idros Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, PPjB Md Gezani Md Ghazi, Timbalan Pengarah PlanMalaysia Negeri Pahang, YBrs Puan Suraya Haji Dahlan dan Setiausaha Bahagian BKT, YBrs Encik Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan.
Pada lawatan itu juga, beliau turut berkesempatan melawat ke Balai Bomba dan Penyelamat sementara di Kampung Tekek dan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, PPjB Md Gezani Md Ghazi.
YB. Dato’ Mohd Fakhruddin berkata, pihak kerajaan juga berhasrat untuk membina Balai Bomba kekal di Kampung Tekek dengan peruntukan RM8 juta.
“Kerajaan Negeri juga akan membantu pihak bomba bagi mengenalpasti tanah-tanah yang terbabit, (melihat) kesesuaiannya dan kita mengharapkan kewujudan balai bomba ini akan dapat membawa lebih banyak lagi manfaat kepada pengurusan operasi bomba di kawasan Pulau Tioman ini,” katanya.
Balai bomba sementara yang kini terletak di PPR Kampung Tekek memerlukan balai kekal hibrid di tapak yang bersesuaian bagi memastikan peranan pasukan itu dapat dimaksimumkan di kawasan pulau pelancongan terkenal itu.
Pihak Kerajaan Negeri akan melakukan kajian terperinci terhadap tapak cadangan balai hibrid berkenaan yang juga terletak di kampung sama bagi memastikan kelestarian pulau itu terpelihara. – PAHANGMEDIA

