Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 18 MEI 2024 : PDRM Pahang turut mengambil langkah lebih bersiap siaga bagi memastikan kawalan keselamatan sentiasa terjaga di setiap balai polis.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman berkata, ia selaras dengan arahan Ketua Polis Negara yang mahukan PDRM meningkatkan tahap keselamatan di balai polis berikutan serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam.
“Polis Kontinjen Pahang merasa dukacita dengan kematian salah seorang anggota dari Balai Polis Ulu Tiram dalam insiden yang berlaku.
“Di Kontinjen Polis Pahang, saya juga telah mengarahkan kepada semua Ketua Polis Daerah untuk memastikan setiap balai berada dalam keadaan siap siaga dari segi keselamatan yang akan dititikberatkan serta akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Polis Pahang akan membantu keluarga Allahyarham Muhamad Syafiq dalam pengurusan jenazah sehingga selesai dan apa-apa bantuan yang diperlukan daripada pihaknya.
Dalam insiden di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.54 pagi semalam, dua anggota polis maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang.
Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang sedang bertugas dilaporkan ditembak di muka manakala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.
Seorang lagi anggota, Koperal Mohd. Hasif Roslan yang cedera di bahagian bahu dan perut akibat ditembak kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil. -PAHANGMEDIA

