Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 18 MEI 2024 : Pembinaan loji Janakuasa Biogas 5.5MW Cenergi FJP dijangka dapat memberikan karbon kredit sebanyak 300,000 tan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata loji berkenaan juga mampu membekalkan tenaga elektrik stabil kepada 70,000 penduduk.
“Di dalam penjelasan tadi didapati 300,000 tan karbon telah dapat diselamatkan. Yang ini bukan hak Felcra, yang ini adalah hak Kerajaan Negeri untuk mendapatkan karbon kredit bagi Negeri Pahang.

“Dan dengan kapasiti 5.5 megawat (MW), loji janakuasa biogas ini mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 orang penduduk luar bandar yang bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui projek biogas dari sisa efluen kelapa sawit (Palm Oil Mill Effluent (POME)) ini merupakan inisiatif strategik bagi memastikan negara terus memperolehi sumber tenaga elektrik secara berterusan di samping menjamin kelestarian alam sekitar.
“FELCRA optimis bahawa loji janakuasa yang diuruskan oleh Cenergi FJP ini merupakan pemangkin kepada proses perbandaran di luar bandar melalui impak positif terhadap limpahan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada masyarakat setempat.

“Dengan menggunakan biogas dari sisa-sisa kelapa sawit, kita dapat mengurangkan pembakaran sisa-sisa organik dan menghasilkan tenaga elektrik yang bersih dan mampan.
“Ini membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memanfaatkan sumber tenaga yang tersedia secara lokal di kawasan-kawasan di mana kelapa sawit ditanam dan diproses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5MW Cenergi FJP di Kilang Sawit Felcra Jayaputra hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felcra Berhad, YBhg. Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim. -PAHANGMEDIA

