Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 MEI 2024 : Keperluan memiliki sebuah tablet bagi setiap guru dan pelajar untuk memudahkan kaedah pembelajaran digital menjadi antara perhatian kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi tersebut juga dapat membantu guru melaksanakan pedagogi dengan lebih efisyen dan mampu mendorong minat dan keupayaan pelajar.
“Saya amat mendokong perlaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang sedang dijalankan oleh KPM, sudah tentu dalam menterjemahkannya tablet amat diperlukan bukan hanya di kalangan para guru tetapi juga pelajar kerana pendekatan pelajaran yang ada sudah berubah kepada kaedah digital.
“Saya merasakan bahawa pemberian tablet untuk para pelajar harus melata walaupun kita tau kekangan kewangan jadi faktor utama tapi boleh buat secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 dengan tema ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’ di Zenith, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek serta Timbalannya, YB Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan, Tuan Haji Azman Adnan.
Hadir sama YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin serta Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Pada majlis berkenaan juga mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2024, Dato Sulaiman Wak manakala Tokoh Guru Kebangsaan 2024 dianugerahkan kepada bekas guru Sejarah, Puan Masariah Mispari yang kini Ketua Panel di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Sementara itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, bagi merealisasikan kaedah digital secara meluas, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan tambahan peruntukan untuk pembelian peranti tablet untuk manfaat semua pelajar di seluruh negara seperti yang dicadangkan oleh KPM.
“InsyaAllah saya akan sokong semua program yang telah dirancang KPM walaupun pada tahun ini sebanyak RM58.7 bilion telah diperuntukkan kepada KPM.
“Saya yakin tahun hadapan bajet akan bertambah untuk pembelian perkakasan (tablet) untuk melaksanakan kaedah pembelajaran secara digital.
“Sistem telah ada, kaedah pengajaran (pedagogi) pon dah ada, jadi hanya perlukan tablet sahaja. Jadi jika dapat dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini, saya yakin dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, majoriti semua pelajar akan dapat dibekalkan dengan peranti itu. Itu adalah hasrat kita, ia adalah kaedah baru dan ia perlu,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengulas berkenaan capaian internet bagi kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan kaedah kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Digital (Komunikasi dan Digital) dan Pengerusi SKMM oleh kerana kerajaan memutuskan ada satu lagi servis provider untuk 5G maka antara kawasan tumpuan ialah berpenduduk rendah termasuk di kawasan felda, kampung tradisional dan pendalaman.
“Sekarang ini cakupan di kawasan berpenduduk tinggi telah capai 87.5 peratus dan saya yakin pada akhir tahun ini akan mencapai 99 peratus, jadi selepas ini fasa kedua dilaksanakan di kawasan berpenduduk rendah supaya kawasan kampung Orang Asli, tradisional dan pedalaman akan capai liputan (5G),” katanya. -PAHANGMEDIA

