Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Program Pemerkasaan Persatuan Belia Pahang (YES Pahang) tonggak penting dalam meningkatkan kualiti kepimpinan muda Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan melibatkan 3 peringkat kursus iaitu, Daerah, Zon dan Negeri.
“Program ini dirangka khusus untuk melahirkan pemimpin belia yang terbaik dan benar-benar berkualiti iaitu ‘Cream of The Cream’, sekali gus mampu mewarisi kepimpinan negeri ini pada masa depan.
“Melalui program YES ini, peserta dipilih secara rapi melalui beberapa saringan ketat bermula di peringkat daerah hinggalah ke peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jenderak YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada sesi soal jawab sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, YB. Tuan Fadzli berkata matlamat akhir daripada program YES ini adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis belia yang benar-benar kompeten untuk menerajui pertubuhan-pertubuhan belia sekali gus berkeupayaan menarik lebih ramai anak muda untuk terlibat aktif dalam pertubuhan belia di negeri ini.
Sementara itu, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal turut memaklumkan bahawa pemimpin-pemimpin belia yang terpilih dan disenarai pendek dari program YES ini berpeluang untuk mengikuti Retreat Khas Pemimpin Anak Muda Pahang bagi menentukan hala tuju belia Pahang pada masa depan.
“Selepas kita mencapai persetujuan dan kesepakatan tentang hala tuju belia Pahang melalui retreat atau pemukiman ini, maka kita akan melangkah lebih jauh termasuk menjalin kerjasama dengan belia negeri lain khususnya Belia Sarawak sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.
“Saya telah menyampaikan hasrat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang ini kepada YB Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Keusahawanan Sarawak, Dato’ Gerald Rentap Jabu semasa Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA Sarawak ke Negeri Pahang baru-baru ini dan alhamdulillah, ianya disambut baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

