Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Nurhilmi Nordin
KUANTAN, 28 APRIL 2024 : Penganjuran program bertaraf antarabangsa seperti Program Asia Pacific Tree Climbing Championship (APTCC) 2024 dapat menunjukkan potensi besar Negeri Pahang dalam penganjuran acara berprestij seumpama itu.
Wakil YAB Menteri Besar Pahang, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kepercayaan yang diberikan bagi menganjurkan program antarabangsa semestinya dapat mempromosikan ‘sport tourism’ di negeri ini.
“Ini adalah acara ‘sport tourism’ yang memang sekarang diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan sambutan yang cukup baik daripada banyak negara yang mengambil bahagian.
“Ini menunjukkan potensi besar Pahang untuk menganjurkan acara seperti ini dan saya difahamkan tadi selain Kuantan sebenarnya Putrajaya dan Pulau Pinang juga menawarkan diri dan Alhamdulillah Kuantan terpilih dan ini adalah usaha bersungguh-sungguh daripada Perbadanan Taman Negeri Pahang yang hendak mempopularkan ‘sport tourism’ di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Asia Pacific Tree Climbing Championship (APTCC) 2024 yang diadakan selama tiga bermula 26-28 April 2024 bertempat di Kelab Golf Diraja Pahang di Kuantan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang, YBrs. Encik Abu Zahrim Ismail, Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM), YBrs. Encik Mohd Zailani Jamil, Pengurus Kanan Pengurusan Strategik dan Pemasaran Tourism Pahang, YBrs. Encik Nor Hasrul Nizam dan ketua-ketua jabatan.
Kejohanan APTCC 2024 itu telah disertai oleh 51 peserta termasuklah Malaysia, Australia, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Korea, Singapura, Taiwan dan Thailand.
Juara APTCC kategori lelaki dimenangi oleh Mr. Barten Allen Hall dari Australia yang merupakan juara dunia kejohanan sama pada 2022 dan 2023 manakala juara APTCC kategori wanita pula dirangkul oleh Ms. Stephani Dryfout dari New Zealand.
Semua peserta bersaing dalam lima acara awalan iaitu ‘aerial rescue’, ‘work climb’, ‘ascent’, ‘belayed speed climb’ dan ‘throwline’ yang mempamerkan kecekapan, teknik dan kepantasan dengan menekankan kepentingan keselamatan dan penjagaan pokok yang betul.
Sementara itu, Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM), YBrs. Encik Mohd Zailani Jamil berkata, Kejohanan APTCC 2024 ini membuktikan bahawa aktiviti rekreasi itu dapat dilakukan di mana-mana sahaja namun menggunakan kaedah yang betul dengan mempertingkatkan keselamatan selain penggunaan alat-alat yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Menurutnya, pemilihan pokok bagi penganjuran APTCC ini juga perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh International Society of Arboriculture (ISA) di mana pokok Tembusu disifatkan antara pokok yang sukar dipanjat oleh peserta. – PAHANGMEDIA

