Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN , 09 APRIL 2024 : Aktiviti manusia punca berlakunya kebakaran di 700 kawasan kebakaran yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata ini kerana kebakaran secara semulajadi adalah sukar berlaku di Malaysia.
“Kita tengok memang keadaan cuaca amat panas yang boleh menyebabkan mudahnya berlaku kebakaran tetapi kemungkinan-kemungkinan ada pekebun atau orang ramai yang melakukan kebakaran terbuka tanpa kawalan.
“Yang ini mungkin penyebab bermulanya kebakaran bagi satu-satu tempat ini cuma kita tak dapat confirm sahaja (punca sebenar). Tapi untuk dia terbakar sendiri adalah agak sukar di negara kita, mesti ada yang memulakan kebakaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Pahang Media selepas keberangkatan pulang Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Taman Inderapura Jaya semalam.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran secara terbuka dan sentiasa mengawasi keadaan sekeliling sekiranya terpaksa melakukan pembakaran.
“Sekarang ini musim panas yang sangat terik dan kadar suhu kadang-kadang melebihi 40 darjah di sesetengah tempat dan keadaan ini sebenarnya selain membahayakan kesihatan, ia juga memudahkan berlakunya kebakaran.
“Jadi saya menyarankan kepada semua masyarakat di Negeri Pahang khususnya supaya tidak menjalankan aktiviti pembakaran secara terbuka. Jika perlu pun (pembakaran) hendaklah di bawah pengawasan dan memastikan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya jika hendak meninggalkan kawasan tersebut.
“Dan kalau menemui kebakaran, sila lapor segera ke Jabatan Bomba supaya tindakan awal dapat dilakukan kerana jika melibatkan kebakaran hutan dan tanah gambut, ia merebak begitu cepat sekali dan biarlah kita bertindak di peringkat awal daripada kita bertindak ketika api dah begitu besar,” katanya. -PAHANGMEDIA